Pelatih Perlu Proaktif untuk Manfaat Penuh Program Akademi

Minggu pertama latihan yang dilaksanakan sebaik sahaja proses pemilihan diadakan pada 23 November yang lalu telah menampakkan seramai 40 orang pelatih telah dipilih untuk menjalani program latihan bersama akademi MiniGP oleh Kementerian Belia dan Sukan ini. Merujuk kepada data yang diperolehi melalui pihak pengurusan akademi, lebih dari separuh jumlah pelatih didapati telah mempunyai pengalaman dalam bidang sukan permotoran sama ada melalui acara seperti pocket bike mahupun kejohanan Cubprix.

Namun demikian, sejumlah besar dari mereka masih tidak mempunyai asas jati diri sebagai seorang atlit sukan permotoran yang cukup ampuh. Pihak pengurusan dan barisan jurulatih bagaimanapun tidak hairan tentang perkara ini seperti diberitahu oleh En. Remy selaku ketua jurulatih program akademi ini, ini berikutan dari kurangnya pendedahan am tentang pembawakan diri pelatih-pelatih tersebut sebagai seorang atlit sukan permotoran yang profesional. Oleh itu, kehadiran mereka ke akademi ini menampakkan usaha dan semangat mereka yang tinggi untuk membentuk dan membangunkan diri mereka sebagai seorang atlit sukan permotoran yang berwibawa.

Walau bagaimanapun, penyertaan dan kehadiran dalam program akademi ini sahaja tidak cukup untuk mereka menjadi yang terbaik dalam tempoh yang singkat sepanjang perjalanan program ini. Barisan jurulatih beserta pihak pengurusan akademi menekankan bahawa para pelatih perlu lebih proaktif dalam menimba ilmu dan pengetahuan serta melebarkan rangkaian atau perhubungan mereka bersama pihak akademi dan juga tetamu-tetamu khas yang diundang bagi memberi perkongsian khas sepertimana yang berlaku pada hari pertama akademi. Kehadiran pihak luar seperti Estrada Motorsport yang turut menabur ilmu dalam topik khusus seperti pembentukan profil atau perlaksaan penjenamaan adalah salah satu ilmu asas yang perlu dipraktikkan serta merta oleh setiap pelatih.

Justeru itu, para pelatih yang terpilih dalam program ini perlu mengambil peluang yang terhidang bagi memperbaiki sikap dan cara kerja mereka dalam menjadi seorang atlit sukan permotoran. Antara karakter atau sikap yang disentuh oleh pihak akademi yang tidak mendatangkan manfaat buat para pelatih adalah sikap malu bertanya dan tidak berkomunikasi dengan baik bersama para jurulatih dan pihak pengurusan akademi. Jika perkara ini dapat diperbaiki melalui usaha mereka, ia akan membantu para pelatih untuk mendapatkan manfaat dan ilmu pengetahuan yang lebih baik melalui program sebegini. Apapun, pihak akademi turut bersama akan memberi galakkan dan memupuk mereka untuk menjadi lebih proaktif disamping seruan pihak akademi kepada ibu bapa dan penjaga pelatih untuk turut mengambil bahagian dalam proses ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *